Home » » Taib Mahmud: Kaum Bidayuh terbela

Taib Mahmud: Kaum Bidayuh terbela

Written By Unknown on Sunday, 17 February 2013 | Sunday, February 17, 2013

Taib turut berkata kerajaan telah membuat kajian dan perancangan yang teliti sebelum membuat keputusan membina empangan Bengoh. 

BENGOH: Masyarakat Bidayuh harus berbangga dengan pencapaian dan kemajuan yang dicapai kaum itu menerusi hasil pembangunan kerajaan.

Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata pada masa ini ramai anak Bidayuh telah mempunyai profesion dan menjawat jawatan penting dalam bidang pekerjaan.

“Ini semua hasil pembangunan pendidikan yang dilaksanakan kerajaan bagi memartabatkan anak bangsa negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat kawasan Parlimen Mambong di Skim Penempatan Semula Bengoh.

Justeru, beliau memuji masyarakat Bidayuh yang sentiasa mencari peluang dan mengambil kesempatan untuk memajukan bangsa sendiri.

“Ini kerana mereka (masyarakat Bidayuh) mahu menjadi satu bangsa yang maju ke hadapan seiring dengan pembangunan negara,” katanya.

Menurut Pehin Sri Taib pembinaan empangan Bengoh adalah lambang kebanggaan masyarakat Bidayuh kerana ia adalah satu pengorbanan demi pembangunan di negeri ini.

Ini kerana masyarakat Bidayuh di kawasan terbabit sanggup berpindah dari kawasan penempatan asal demi memberi laluan kepada pembangunan kerajaan, tambahnya.

“Mereka sedar bahawa apa yang dilakukan kerajaan adalah demi masa depan anak-anak generasi baru supaya terus maju,” katanya.

Selain itu tambah beliau penduduk terbabit juga sedar kepentingan air dalam proses kemajuan dan pembangunan negeri ini kerana empangan Bengoh akan menyalurkan bekalan air yang mencukupi ke kawasan Bengoh, Serian, Samarahan dan berdekatan.

Ini akan membuka lebih banyak peluang perindustrian seterusnya meningkatkan ekonomi negeri ini, ujarnya.

“Apabila adanya perindustrian maka akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kawasan terbabit,” katanya.

Pehin Sri Taib turut berkata kerajaan telah membuat kajian dan perancangan yang teliti sebelum membuat keputusan membina empangan Bengoh.

“Kita (kerajaan) tidak sewenang-wenangnya membina empangan dan membiarkan penduduk tanpa pembelaan,” katanya sambil menambah mereka (penduduk) yang terbabit turut dibayar pampasan tanah.

Jangan dengar cakap pembangkang

Menurutnya penduduk yang terbabit turut diberi penempatan semula lengkap dengan pelbagai kemudahan asas yang diperlukan seperti air, elektrik dan jalan.

“Mereka juga diberi tanah untuk diusahakan supaya dapat menjana pendapatan ekonomi masing-masing,” tambah beliau.

Bercakap mengenai bahang Pilihan raya Umum (PRU) ke 13, Pehin Sri Taib menasihatkan penduduk kawasan Mambong supaya membuat penilaian bijak sebelum memutuskan pilihan masing-masing.

“Usah percaya dengan cakap-cakap pihak pembangkang yang sebenarnya bermaksud untuk memecah belahkan rakyat kerana mereka (pembangkang) hanya beromong kosong,” katanya.

Menurut beliau pembangkang hanya tahu menabur janji tetapi sukar untuk menunaikannya.

Mengambil contoh negeri Selangor yang dibawah kerajaan pembangkang, Ketua Menteri berkata pelbagai masalah telah timbul dan tidak dapat diselesaikan.

“Apakah kita sebagai rakyat Sarawak yang sudah cukup selesa dan bersatu ini mahu jatuh dalam kehancuran apabila diperintah pembangkang nanti?” ujarnya sambil menambah semua pembangunan dan perubahan yang dibuat kerajaan adalah demi keselesaan rakyat.

Beliau berkata pihak pembangkang bercakap seolah-olah mampu melaksanakan segala janji dan membuat sesuatu dalam sekelip mata.

Oleh itu, kata beliau rakyat harus memikirkan dengan sedalamnya akan apa yang dikatakan pembangkang kerana semua itu adalah satu omongan kosong.

“Mana mungkin kita dapat membawa pembangunan dan kemajuan dalam sekelip mata sedangkan dalam kehidupan pun kita mengambil masa untuk membangunkannya,” tambah beliau.

Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/02/17/taib-mahmud-kaum-bidayuh-terbela/
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Join 10986+ People Following Us


Note: *Your email address will not be shared with anyone*.
 
Support : Your Link | Your Link | Your Link
Copyright © 2013. The Malaysia News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger